Bapa rogol anak kandung sehingga bersalin, dipenjara 218 tahun, 75 sebatan

Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara 218 tahun dan 75 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 41 tahun kerana didapati bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya sehingga bersalin.

Tertuduh yang bekerja kampung mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

“Kamu tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah pada kamu sebagai ayah.

“Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun dah buat macam-macam termasuk jumpa doktor,” kata Hakim Abu Bakar sebelum menjatuhkan hukuman tersebut.

Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan amang seksual fizikal pertama terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun, pada waktu malam, tahun 2020.

Pada Oktober tahun yang sama, tertuduh merogol mangsa dan kali terakhir pada 8 pagi, 5 Jun 2023.

Perbuatan tertuduh terbongkar selepas keadaan fizikal mangsa berubah yang kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan hamil. Mangsa yang tidak mengetahui dirinya mengandung kemudian membuat laporan polis.

Mangsa yang baru sahaja melahirkan anak lelaki pada minggu lalu dalam laporan memaklumkan, dia telah menukar kunci pintu biliknya bagi mengelak dirogol oleh tertuduh. Malangnya gagal apabila tertuduh bertindak memanjat biliknya.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.

Untuk kesalahan merogol, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintah hukuman amang seksual fizikal dijalankan secara berasingan. Manakala hukuman kesalahan merogol dijalankan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan.

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*